12/10/2026
LAWATAN DAN PEMERIKSAAN KESIAPSIAGAAN POLIS BANTUAN MRT CORP DI RTS LINK ICQ
JOHOR BAHRU, 8 OKTOBER 2026 – Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kontinjen Johor telah mengadakan lawatan dan pemeriksaan kesiapsiagaan Polis Bantuan MRT Corp di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ).
Lawatan ini bertujuan untuk meninjau tahap kesiapsiagaan, keupayaan operasi, serta aspek keselamatan yang dilaksanakan oleh Polis Bantuan MRT Corp bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman di Kompleks ICQ sentiasa terjamin serta memenuhi standard operasi keselamatan.
Delegasi JPJKK Kontinjen Johor diketuai oleh YDH SAC Chuah Yong Huat, Ketua JPJKK Kontinjen Johor, bersama ACP Ra’yim bin Haji Jemakir, Timbalan Ketua JPJKK Kontinjen Johor, dan DSP Faizal Hortonor, Ketua Jabatan JPJKK IPD Johor Bahru Selatan (JBS).
Turut hadir mewakili pihak RTS Link ialah Ir. Zulkifli Mohamed, Pengarah Projek RTS Link; Encik Azlan Mahmud, Pengarah Operasi Aset dan Penyelenggaraan; Ir. Lim Chin Shin, Penolong Pengurus Besar Operasi Aset dan Penyelenggaraan; serta Tuan Mohd Rosdi Razali, Penolong Ketua Unit Polis Bantuan.
Lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memperkukuh kerjasama strategik bersama pihak pengurusan Kompleks ICQ, khususnya dalam aspek pencegahan jenayah, kesiapsiagaan keselamatan, dan penyelarasan operasi demi menjamin keselamatan pengguna serta kelancaran operasi perkhidmatan pengangkutan awam.
Kerjasama erat antara PDRM dan MRTS diharap dapat terus diperkukuh bagi mewujudkan persekitaran yang selamat, terjamin, dan kondusif untuk semua.