30/07/2026
PEPERIKSAAN BAHAGIAN III LAM [PART III] @ OKTOBER 2026..
Setiap tahun LAM mengadakan 2 kali Peperiksaan Bahagian III ini, pada bulan Mac/Apr dan Sep/Okt untuk menentukan siapa yang layak untuk memegang tanggungjawab sebagai Arkitek Berdaftar dan Orang Utama Yang Mengemukakan Pelan [PSP].
Sudah beberapa tahun yang saya bersama Panel Peperiksaan, saya dapati semasa berbincang dengan ahli panel menanda kertas jawapan, saya dapati komen-komen yang sama asyik berulang.
Harapnya antara poin-poin yang saya senaraikan di bawah ini tidak berlaku pada calon-calon September / Oktober 2026.
Antara komen-komen yang selalu berulang ialah:..
1.
Ramai Calon tidak membaca soalan dengan teliti.
Apabila calon tidak mengambil masa 15 minit awal peperiksaan untuk membaca dan menandakan / gariskan poin-poin utama yang diminta soalan, apa yang terjadi ialah jawapan calon mungkin tersasar keluar dari poin-poin utama yang diminta oleh soalan.
Rugi markah bila poin-poin utama soalan tidak disentuh. Kalau jawapan tersasar jauh, langsung hilang markah begitu sahaja...
2.
Ramai Calon menggunakan jawapan skema.
Calon dapat jawapan standard dari mana, kami tidak tahu tetapi jawapan skema ini akan diberi oleh lebih seorang calon.
Selalunya tidak semua jawapan yang disenarai adalah relevan.
Kalau pun telah membaca soalan dengan teliti dan cermat, tetapi calon memilih untuk menggunakan jawapan skema, calon akan kerugian masa dan poin kerana tidak menapis jawapan seperti yang diminta soalan...
3.
Senarai jawapan melebihi diminta soalan.
Bila soalan meminta satu jumlah jawapan, katakan soalan meminta 3 jawapan, tetapi calon menjawap lebih dari itu, katakan 6 jawapan; tidak semestinya pemeriksa akan mengambil kira jawapan ke 4 hingga ke 6 sebab ia boleh dianggap bagai calon "menembak" kot kena jawapan, dan calon tidak benar-benar tahu atau faham kehendak soalan.
Daripada rugi masa menulis panjang-panjang senarai, lebih baik gunakan masa untuk fikir apa sebenarnya soalan minta dan jawap sebanyak mana yang diminta sahaja...
4.
Persediaan Ulangkaji.
Dari jawapan-jawapan yang diberikan, pemeriksa tertanya samada calon telah bersedia dan telah membuat ulangkaji topik-topik yang ditanya atau hanya menduduki peperiksaan kerana ingin mencuba nasib.
Sewajarnya sebelum tekad hendak menduduki peperiksaan, setiap calon bersedia diri dengan ilmu-ilmu yang patut dipelajari, difahamkan dan sedikit perkara perlu dihafal.
Saya sarankan calon-calon bertukar-tukar pendapat mengenai jawapan-jawapan masing-masing agar dapat disemak bersama samada jawapan menepati soalan. Juga, perkongsian pengalaman kerja terutama semasa menangani hal kontrak amat berharga.
Seperkara yang penting ialah calon-calon juga merujuk pekeliling, nota praktis dan panduan serta buku rujukan terkini yang dikeluarkan oleh LAM dan PAM dan agensi/badan berkenaan seperti BOMBA, CIDB dan JKKP mengenai perkara yang disoal. Pastikan juga rujukan calon adalah kepada Akta-Akta terkini juga.
Praktis senibina juga adalah profesion yang dinamik. Perkara-perkara semasa yang melibatkan praktis juga boleh ditanya, jadi sentiasa berkongsi maklumat antara calon mengenai perkembangan terkini dunia senibina...
5.
Usaha untuk dapatkan Khidmat Nasihat atau Pendapat dari Arkitek yang berpengalaman dengan senario-senario yang sering ditanya di dalam peperiksaan ini. Hati-hati juga, sebab ada perkara-perkara yang selalu dibuat atau dipraktikkan kadangkala adalah tidak berdasarkan cara sewajarnya. Sebab itu pentingnya membuat rujukan kepada Arkitek yang berpengalaman dalam perkara atau topik yang berkenaan.
Kalau Arkitek berpengalaman pun perlu dipilih untuk menjadi Pakar Rujuk, calon perlu ambil maklum bahawa pendapat seorang Arkitek yang baharu lulus peperiksaan tidak semestinya betul atau tepat kerana markah lulus ialah 50% dan kebanyakan calon lulus antara 50-60% sahaja dan amat ramai, 80% atau lebih, tidak lulus soalan pencegahan kebakaran. Peratusan lulus saban tahun juga tidak la tinggi sangat.
Malah saya sendiri tidak boleh mengaku amat arif semua topik soalan walaupun telah lebih 30 tahun di dalam praktis.
Tetapi, yang bagusnya acap kali soalan-soalan peperiksaan adalah mengenai topik-topik yang sama tapi ditanya dari sudut berlainan - contohnya mengenai hal-hal kontrak, sijil kemajuan, pencegahan kebakaran - untuk mengesahkan kefahaman calon mengenai isu-isu dalam topik tersebut.
Sebagai persediaan, usahakan menjawap soalan-soalan tahun terdahulu, fahamkan soalan, bincangkan jawapan bersama teman-teman 'study group' dan rujuk kepada Arkitek yang arif mengenai topik berkenaan. Ramai sahaja Arkitek yang akan ke depan membantu.
Selamat membuat persediaan sebaiknya dan semoga kalian mendapat keputusan cemerlang nanti dan berganding bahu dengan orang lama-lama untuk membangunkan negara. InShaAllah.