09/05/2016
Kebocoran paip air sememangnya mendatangkan masalah dan kerugian kepada pengguna. Lebih-lebih lagi jika kebocoran paip air berlaku tanpa disedari oleh pengguna seperti kebocoran paip di bawah tanah atau di dalam dinding rumah. Keadaan akan bertambah buruk jika air tersebut mula masuk ke dalam rumah daripada celah-celah lantai, dinding atau siling rumah.
Bagi yang tinggal di rumah teres atau bertingkat, kebocoran paip air bukan sahaja akan memberi kesan kepada pemilik kediaman, malah ia juga akan menjejaskan pemilik kediaman yang berjiran dengan pemilik. Jika tidak ditangani segera, ia boleh menjejaskan keselamatan pemilik kediaman, menyebabkan kerosakan perabot, sambungan elektrik, kesan tompokan pada dinding akibat resapan air dan seterusnya mengakibatkan pengguna menanggung pembayaran bil air yang tinggi.
Berikut adalah beberapa cara bagi mengesan sekiranya terdapat kebocoran paip air di dalam rumah :
Lihat keadaan rumah sekiranya terdapat kesan air meresap di lantai, dinding atau siling rumah.
Periksa tangki simpanan air untuk mengesan sebarang kebocoran
Perhatikan jika terdapat bacaan luar biasa pada bil air. Buat perbandingan dengan bil air yang terdahulu.
Tutup semua pili air di dalam rumah dan pastikan tiada pergerakan air masuk ke tangki simpanan. Kemudian perhatikan bacaan meter air untuk satu jangka masa. Jika masih terdapat pergerakan bacaan pada meter air, berkemungkinan terdapat kebocoran.
Perhatikan sekiranya terdapat kesan air mengalir di mana-mana kawasan kediaman.
Jika kebocoran dikesan, jangan cuba untuk memperbaiki kerosakan sendiri jika anda tidak mahir dalam penggantian paip kerana ia akan menambahkan lagi kerosakan sedia ada. Pengguna haruslah segera menghubungi syarikat air negeri masing-masing untuk mendapatkan bantuan dalam mendapatkan tukang paip berlesen yang berdaftar untuk kerja-kerja pembaikan.
Pengguna dinasihatkan agar sentiasa memantau keadaan paip di rumah sebagai pencegahan awal dalam mengelakkan kebocoran. Pengguna juga harus peka terhadap sebarang perubahan yang mencurigakan pada keadaan rumah atau bil agar kebocoran paip dapat ditangani segera dan mengelakkan pembaziran serta kerugian.