06/08/2026
MAJLIS PENYERAHAN SURAT SETUJU TERIMA (SST) DAN SESI MENANDATANGANI DOKUMEN KONTRAK BAGI PROJEK PEMASANGAN SISTEM FOTOVOLTA SURIA (GRID-CONNECTED PV SYSTEM) DI BANGUNAN RTM
Pada 6 Ogos 2026, telah berlangsung Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) secara 3 in 1 bagi dua (2) projek pemasangan Sistem Fotovolta Suria (Grid-Connected PV System) di bangunan Radio Televisyen Malaysia (RTM), iaitu:
1. Projek Pemasangan Sistem Fotovolta Suria di Bangunan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Negeri Johor, Perak dan Perlis.
2. Projek Pemasangan Sistem Fotovolta Suria di Bangunan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Angkasapuri, Kuala Lumpur.
Majlis telah disempurnakan oleh YBrs. Ir. Zuraidah binti Muhamad, Pengarah Perunding Rekabentuk, Cawangan Kejuruteraan Elektrik (CKE), Jabatan Kerja Raya Malaysia.
Turut hadir ialah YBrs. Ir. Zularifin bin Sejo, Pengarah Perkhidmatan Pakar CKE merangkap Pegawai Penguasa, wakil Jabatan Penyiaran Malaysia selaku pemilik bangunan, wakil SEDA Malaysia sebagai Agensi Pelaksana Bersama dan Koordinator Projek, serta wakil syarikat kontraktor yang berjaya.
Projek berkapasiti keseluruhan 670 kWp ini bertujuan memperkasa penggunaan Tenaga Boleh Baharu (TBB) di bangunan Kerajaan, di samping meningkatkan kecekapan tenaga dan menjana penjimatan kos operasi bagi tempoh jangka panjang. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada Solar Accelerated Transition Action Programme (Solar ATAP) yang menyokong pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR). Kedua-dua projek akan dilaksanakan secara fast-track dengan tempoh pelaksanaan selama lapan (8) bulan.
Sekalung tahniah diucapkan kepada Jentayu Utara Sdn. Bhd. dan BNR Technology Sdn. Bhd. atas kejayaan memperoleh kontrak pelaksanaan projek ini. Diharapkan kontraktor yang dilantik dapat memberikan komitmen sepenuhnya dalam memastikan setiap fasa pelaksanaan mematuhi spesifikasi teknikal, memenuhi standard kualiti yang ditetapkan serta disiapkan mengikut tempoh yang telah dipersetujui.
Jabatan Kerja Raya Malaysia akan terus komited mengamalkan prinsip tatakelola yang baik bagi memastikan setiap peruntukan kerajaan diterjemahkan kepada penyampaian infrastruktur yang berkualiti, mampan dan memberi manfaat kepada rakyat. Pelaksanaan projek berteknologi hijau ini turut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan dalam memacu agenda peralihan tenaga negara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, khususnya di bawah teras Kemampanan.
Jabatan Kerja Raya Malaysia ( Public Works Department )
Cawangan Kejuruteraan Elektrik