01/08/2026
KSB | SENI BINA LAMA MASJID JAMEK KAMPUNG GOMBANG
Sudah menjadi kemestian bagi setiap permusafiran, saya akan berhenti singgah untuk beriktikaf dan solat di mana-mana musolla, surau atau masjid di kawasan terhampir dengan lokasi saya berada.
Kali ini, saya berhenti di sini. Selepas bersolat, saya mengambil beberapa gambar seni bina bangunannya yang amat menarik perhatian saya.
Ia sebuah masjid lama yang dibina pada tahun 1930 dan masih kukuh struktur binaannya. Terletak di tepi sebatang sungai dan bersebelahannya ada sebuah pekan kecil dan kawasan perkampungan.
Menurut sejarahnya, pada zaman dahulu, sungai menjadi laluan utama masyarakat untuk ke sesuatu tempat. Lalu, setiap suatu tempat dibina sebuah jeti yang betul-betul berhampiran pekan dan masjid kerana di situ menjadi tumpuan mereka untuk berniaga, membeli keperluan harian dan menjalani kehidupan sosial.
Setelah wujudnya jalan raya seperti sekarang, penggunaan bot atau sampan untuk menghantar penumpang menyeberangi sungai telah berkurang. Namun, pekan kecil dan masjid ini masih wujud dan 'hidup' sebagai suatu tempat bersejarah dengan mengekalkan binaan asalnya.
Saya memang menyukai seni bina bangunan lama, klasik dan tradisional kerana pada saya, seni ukiran dan keindahannya adalah sangat unik dan tersendiri terutama pada reka bentuk bumbung masjid ini. Terlalu istimewa!
Mengabadikan kenangan melalui gambar-gambar yang dibidik dari lensa kamera agar suatu hari nanti kita dapat mengenang kembali sejarah dan keindahan seni bina lama yang kekal utuh dan menyimpan pelbagai kisah di sebaliknya.
MASJID JAMEK KAMPUNG GOMBANG
Mukim Liang Batu
Muar, Johor
Malaysia
'Melalui Seni Bina, aku ingin mengembara'
Zam Tormin
(Kembara Seni Bina & Kayuhan Kembara Seni Bina)